Tuesday 22 March 2016

Perkongsian Tamadun Islam

 KONSEP TAMADUN ISLAM


Konsep Tamadun Islam menyentuh beberapa aspek yang menetapkan 'world view' Tamadun Islam. Penetapan aspek ini menjadi pembeza wajah antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Aspek-aspek tersebut adalah seperti berikut:



 Definisi Tamadun Islam:
Berikut dikemukakan pelbagai definisi tamadun yang diutarakan oleh para sarjana Tamadun Islam.




i. Ibn Khaldun
Beliau menjelaskan Tamadun Islam sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asas kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.




ii. M. A. J. Beg
Beliau membuat kesimpulan bahawa tamadun merupakan pencapaian manusia dalam bentuk kata-kata, skrip, kesenian, senibina, agama, undang-undang dan politik.




iii. Prof. Dr. Ahmad Shalaby
Tamadun Islam terbahagi kepada dua. Pertama, peradaban Islam tulen yang menjadikan Islam sebagai sumber. Kedua ialah peradaban yang dibangunkan oleh kaum muslimin dalam pelbagai bidang ilmu seperti matematik, perubatan, astrologi, muzik dan lain-lain. (1975:26)



vi. Professor Syed Naquib Al-Attas
Beliau telah mentafsirkan Tamadun Islam sebagai satu keadaan kehidupan masyarakat yang telah mencapai tahap kehalusan tatasusila dengan mempunyai kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.




v. Syed Qutb
Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat dalam seluruh dimensi kehidupan seperti dalam sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan nilai-nilai moral Islam (1989:112). Menurut beliau, Tamadun Islam tidak boleh lari dari sibghatu’Llah atau acuan Allah (Ibid: 129). Beliau mengambil contoh pencapaian tamadun yang telah di asaskan oleh Rasulullah SAW. Tamadun Islam telah mencapai kemuncak keagungan dan terus berkembangan pada zaman kemudiannya.




vi. Said Hawa
Melalui karyanya al-Islam beliau menyatakan bahawa tamadun secara umum terbahagi kepada dua kategori sahaja iaitu Tamadun Islam dan Tamadun Jahiliyah. Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang tegak di atas kebudayaan Islam serta hasilnya juga relevan dengan kebudayaan Islam. Manakala Tamadun jahiliyah pula ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaan tanpa mengambil kira aspek kerohanian dan moral.




vii. Lain-lain.
Ahmad Fauzi Haji Morad, Ahmad Tarmizi Talib, Aimini Amir Abdullah dan Zarina Mohammad menyatakan bahawa tamadun merangkumi kebudayaan, peradaban, kemajuan (kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun. Manusia tidak akan dapat mencari satu etika tamadun jika tidak mempunyai masyarakat yang bermoral. Kemajuan Tamadun Islam tidak terbatas hanya kepada kemajuan kebudayaan semata-mata. Malah ia merupakan kemajuan yang berjalan serentak dengan kerohanian. Seterusnya, mereka menyatakan bahawa Tamadun Islam ialah meletakkan al-Din sebagai pembentukan tamadun manusia.
Ringkasnya, Tamadun Islam meliputi seluruh pencapaian dalam kehidupan manusia. Pencapaian-pencapaian dan kemajuan-kemajuan yang dibangunkan oleh manusia berjalan selaras dengan konsep Islam sebagai al-Din.




 Aspek-aspek Penting Tamadun Islam



Terdapat tiga aspek penting dalam Tamadun Islam, iaitu:



i) Aspek manusia.
Aspek manusia berkisar dalam tiga persoalan pokok, iaitu dari mana kita berasal, kenapa kita diwujudkan dan ke mana kita akan pergi. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan menentukan hala tuju dan pembentukan Tamadun Islam.




ii) Aspek masyarakat.
Aspek masyarakat melibatkan perkara-perkara berikut:-
(a) Hak untuk hidup.
(b) Hak untuk bebas.
(c) Maruah dan hak peribadi.
(d) Hak berfikir, beragama dan mengeluarkan pendapat.
(e) Keadilan dan kehakiman.




iii) Aspek sejarah.
Aspek sejarah dalam Tamadun Islam merupakan satu mekanisma panduan, teladan dan sempadan. Pengajaran dari fakta sejarah akan mendorongkan seseorang melakukan atau meninggalkan suatu perbuatan. Kepentingan aspek ini terbukti pada sebahagian kandungan al-Qur’an yang memaparkan sejarah umat yang silam dan juga sejarah para nabi (anbiya’). Sebagai contohnya, Surah Maryam menceritakan kisah Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa AS. Demikian juga surah Ali Imran menceritakan kisah keluarga Imran yang juga salasilah keluarga Nabi Isa AS. Surah Ibrahim memaparkan kisah Nabi Ibrahim AS termasuk kisahnya dibakar oleh Namrud, namun tidak terbakar. Kisah Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan umatnya, Nabi Nuh dilanda banjir besar, Nabi Ayob dtimpa penyakit, Nabi Syuib dengan tanamannya, Nabi Harun menjadi teman Nabi Musa, Nabi Khaidir dan nabi-nabi yang lain termasuk yang tidak dinyatakan namanya dengan jelas. Semua kisah sejarah ini bukan sekadar dipaparkan untuk memenuhkan al-Qur’an tetapi untuk dijadikan iktibar dan teladan perjalanan manusia hari ini dan akan datang.
Aspek-aspek manusia, masyarakat dan sejarah akan melahirkan tamadun agung, iaitu tamadun yang menepati matlamat penciptaan manusia, menghormati hak-hak asasi manusia dan menjadikan peristiwa silam sebagai dorongan ke arah penciptaan tamadun yang lebih dinamik.




 Asas Tamadun Islam
Tamadun Islam terikat dengan beberapa perkara penting yang menjadi asas pembinaan tamadun. Antaranya ialah akidah, syariah, akhlak dan ilmu. Empat asas ini dikuti dengan asas keadilan, semangat kejiranan, toleransi dan kebebasan beragama sebagai pra-syarat Tamadun Islam. (Mahyudin Hj.Yahya :1998:15). Asas-asas ini menjadikan Tamadun Islam tetap unggul walaupun tidak terbina di atas tapak sejarah awal Islam iaitu di Semenajung Tanah Arab, khususnya di bumi Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah.




* Akidah
Akidah merupakan satu konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah SWT, para rasul, para Malaikat, Kitab-kitab, Hari Akhirat dan Qada’ Qadar Allah. Keyakinan kepada konsep tauhid kepada Allah memberi kesan dalam kehidupan manusia. Tauhid merupakan falsafah kehidupan dalam Islam dan menjadi asas kepada kelahiran tamadun. Keimanan kepada Allah SWT akan mengubah dan membentuk pandangan manusia terhadap Tuhan, sesama manusia dan alam semesta.
Zaman Nabi Muhammad SAW merupakan zaman kegemilangan Tamadun Islam, sama ada dalam aspek politik, pentadbiran mahupun ekonomi. Umat Islam telah berjaya membentuk sebuah kerajaan Islam yang kukuh di Kota Madinah dengan berasaskan akidah. Akidah yang mantap telah membentuk sistem nilai, iaitu suatu sistem yang mengawal sifat dan bentuk ketamadunan.




* Syariah
Syariah merangkumi ibadah dan muamalah. Ibadah ialah peraturan-peraturan untuk melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga meliputi perilaku melaksanakan kebaikan kepada sesama manusia dan alam. Muamalah pula ialah peraturan perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek akhlak, politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Aspek syariah dalam Tamadun Islam dilihat sebagai pemangkin kepada keutuhan dan kecemerlangan tamadun. Ia juga menjadi pembeza antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Melaksanakan keadilan pula adalah prinsip penting dalam perlaksanaan syariat Islam. Ia menjadi lambang kesucian agama Islam. Pelaksanaan keadilan merupakan asas bagi setiap penyusunan masyarakat dan negara. Oleh itu, jika akidah boleh diibaratkan sebagai sumber inspirasi dalam menggerakkan tamadun, syariah pula adalah sebagai penunjuk jalan, penentu kaedah dan perlaksanaan Tamadun Islam. (Azhar, 2000: 129)




* Akhlak
Akhlak merupakan mekanisma yang menggerakkan umat Islam menjadi umat yang bertamadun tinggi. Tanpa akhlak, Tamadun Islam yang dibina tidak mempunyai sebarang erti. Oleh itu, dalam ajaran Islam, akhlak merupakan pelengkap kepada akidah dan syariah. Imam al-Ghazali menjelaskan akhlak merupakan suatu kebiasaan yang terdapat dalam diri manusia. Seseorang akan melakukan dengan mudah dan tidak perlu berfikir untuk menghasilkan perbuatan dan tingkah laku. Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan terpuji ia dinamakan akhlak yang baik (akhlak mahmudah), tetapi jika perbuatan atau tingkah laku itu keji ia dinamakan akhlak yang buruk (akhlak mazmumah). (Aboebakar Atjeh, 1985:13)




Nilai akhlak sebagai satu unsur pembinaan tamadun sudah ada dalam tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Yunani atau lain-lain tamadun. Walau bagaimanapun, nilai-nilai murni dalam nilai akhlak disempurnakan oleh Nabi Muhamad SAW. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”.
Nilai paling utama dalam kehidupan manusia ialah nilai baik yang akan membentuk akhlak seseorang dan ia tidak ditentukan oleh akal manusia, sebaliknya oleh wahyu Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya. Nilai yang diketengahkan oleh ajaran Islam terbukti lebih sesuai dengan fitrah manusia. Oleh kerana itu, nilai dalam akhlak Islam mampu merentasi sempadan, masa dan geografi. Akhlak Islam amat berperanan membantu keutuhan sesebuah tamadun dalam rangka manusia melaksanakan amanah sebagai khalifah di dunia. Segala bentuk perlakuan yang berasaskan ajaran Islam membawa penganutnya mengamalkan akhlak yang mulia.




* Ilmu
Kelahiran Tamadun Islam juga berasaskan ilmu pengetahuan yang disarankan oleh firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq (ayat Iqra’). Ia merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Penekanan kepada ilmu pengetahuan yang bermula dari peringkat awal telah membangkitkan kesedaran pentingnya pembinaan tamadun berasaskan pengetahuan. Sejarah kegemilangan Tamadun Islam telah berjaya dicipta kerana penghayatan ummah terhadap budaya ilmu dalam kehidupan seharian. Selain daripada kejayaan melahirkan tenaga-tenaga mahir dan professional dalam pelbagai bidang, masyarakat Islam juga mempunyai pegangan agama yang teguh, pemikiran yang tinggi dan akhlak yang luhur.




Ilmu merupakan elemen penting yang menjadi pemangkin pergerakan manusia. Penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan menjadikan masyarakat Islam mampu melakukan penelitian, pengkajian dan menghasilkan penemuan baru atau teknologi. Antara contoh intelektual Islam yang menjadi pemangkin budaya ilmu pengetahuan dalam masyarakat seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu Maskawayh, Ibn Batutah, Ibnu Khaldun, al-Farabi, al-Kindi, al-Khawarizmi, al-Ghazali, al-Biruni dan al-Battani. Selain itu, para ulama Islam turut berkembang kerana pemilikan ilmu. Contohnya, Imam Shafie, Imam Maliki, Hanafi dan Hambali. Mereka semua adalah intelektual Islam yang menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber utama ilmu mereka.



Pelbagai pencapaian yang berjaya dihasilkan merupakan puncak kemampuan akal dan kejayaan manusia. Kejayaan ini menjadi dasar untuk membentuk sesuatu tamadun bagi memenuhi keperluan kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain. Oleh itu, dalam menangani era teknologi dan globalisasi hari ini, umat Islam harus bersedia untuk memiliki segala kepakaran yang diperlukan demi mempertingkatkan martabat umat Islam dan mengelak dari bergantung dengan pihak lain. Umat Islam wajib berusaha memiliki pelbagai kepakaran, sama ada kepakaran ilmu agama yang terus berkembang dan berubah, mahupun kepakaran ilmu dunia yang berbentuk kemahiran dan daya cipta. Kepakaran ilmu dunia akan menyebabkan umat Islam disanjung dan dijadikan rujukan, sementara kepakaran ilmu agama akan menjadikan umat Islam umat yang teguh dengan dasar agamanya yang menganjurkan keseimbangan antara kebahagiaan dunia dan akhirat.



Oleh itu, dapat ditegaskan bahawa semua yang terkandung dalam ajaran Islam menjadi asas pembinaan tamadun kerana peningkatan dari aspek spiritual (ma’nawi) akan mendorong kebangkitan fizikal. Kebanyakan tamadun dunia lain juga terbina dengan berasaskan kepercayaan agama. Keteguhan kepada pelaksanan agama menjadi faktor kepada peningkatan dan kemusnahan sesebuah tamadun. Sebaliknya, tamadun yang mula menyeleweng dari dasar agama akan mempercepatkan keruntuhan sesebuah tamadun. Berbeza dengan Islam sebagai din yang dipelihara oleh Allah melalui cara yang dapat dikaji mahupun tidak. Penjagaan dari Allah SWT menjadikan Tamadun Islam mampu bertahan lama sehingga kini. Hanya, pada masa kini umat Islam kurang menghayati konsep Tamadun Islam sehingga mereka leka dengan kepalsuan Tamadun Barat yang hanya menumpukan kepada kemegahan dunia tanpa menggabungkan dengan kebahagian akhirat. Umat Islam hari ini dibelenggu pelbagai masalah, kurang menghayati agama, ketinggalan dalam menguasai ilmu dan teknologi hari ini. Kesungguhan menghayati Islam, berdisiplin tinggi serta menguasai pelbagai ilmu khususnya sains dan teknologi boleh memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menandingi Tamadun Barat hari ini.



 Sumber Tamadun Islam
Sumber Tamadun Islam terbahagi dua, iaitu sumber wahyu dan sumber sekunder. Sumber wahyu terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.



* Al-Qur’an.
Al-Qur’an mrupakan mukjizat yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW dan membacanya dikira sebagai ibadah. Al-Qur’an mengandungi keseluruhan ajaran Islam yang merangkumi konsep ketuhanan, sistem perundangan, alam ghaib, nilai moral, fakta-fakta sains, sejarah dan lain-lain lagi. Al-Qur’an sebagai mukjizat tetap terpelihara daripada sebarang bentuk usaha penyelewengan dan penambahan.
Al-Qur’an sebagai sumber yang dapat disaksikan hingga ke hari ini sentiasa menyeru umat Islam melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan serta membangunkan alam untuk kebaikan bersama. Selain itu, al-Qur’an menekankan aspek keadilan dan segala prinsip-prinsip sosial. Ahmad Shalaby (1997:95) menegaskan, al-Qur’an al-Karim mengandungi asas-asas yang kukuh dan sistem yang teguh bagi pendirian agama, tamadun dan dunia. 



Beliau menegaskan:

“Andainya kita dapat mentafsirkan asas-asas ini dengan sebaiknya nescaya terbentuklah suatu sistem yang sempurna dan sesuai untuk manusia seluruhnya di pelbagai zaman dan tempat”.



* Al-Sunnah.
Selain al-Qur’an, sumber kedua yang menjadi sumber Tamadun Islam ialah sunnah atau hadis Nabi Muhammad SAW. Al-Sunnah ialah segala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan serta sifat atau akhlak dan riwayat hidup baginda sebelum dan sesudah dilantik menjadi Rasul.




Sumber ini diterima sebagai sumber yang benar dan berautoriti dalam Tamadun Islam. Sunnah bukan sekadar bertindak sebagai penafsir dan pengulas yang paling sahih walaupun kesahihannya mengambil tempat kedua selepas al-Qu’ran, malah dari sudut lain, adalah tidak mungkin untuk melihat agama Islam sebagai sesuatu yang sempurna tanpa bantuan dan penjelasan al-Sunnah. Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa sunnah yang diterima sebagai sumber autoriti ini hanyalah sunnah yang sahih sahaja. Sunnah dalam bentuk ini sahaja yang boleh diterima pakai sebagai sumber, sementara Sunnah yang sebaliknya tidak diterima. (Azhar 2000:103) Untuk mempastikan Sunnah yang sahih dan sebaliknya, para ulama hadith telah berjaya membentuk satu ilmu khusus yang dikenali dengan ilmu Mustalah al-Hadith. Hadis atau Sunnah menjadi sumber penting kerana ia bukan sahaja menggambarkan keseluruhan agama Islam, namun turut memaparkan secara jelas kandungan al-Qur’an yang menjadi pegangan orang Islam.



* Sumber-sumber sekunder
Selain daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, terdapat sumber lain yang berperanan sebagai pengukuh kepada penjanaan Tamadun Islam. Antaranya ialah ijtihad, ijmak ulama’, al-Qias, Masalih al-Musalah dan al-Istihsan. Kesemua sumber ini dihasilkan oleh pemikir Islam yang berusaha mencernakan Islam dalam kehidupan seharian umat Islam yang semakin kompleks. Pemikiran intelek dan ulama Islam yang melahirkan pelbagai kaedah Islam tetap berdasarkan firman Allah dalam al-Qur’an dan hadith Nabi SAW.




Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadis yang mendorong manusia belajar dan menggunakan akalnya atau memperkembangkan semangat intelektualisma. Contohnya, ialah ayat-ayat yang disudahi dengan ungkapan yang bermaksud ‘Apakah kamu tidak menggunakan akal’, ‘Apakah kamu tidak berfikir’ dan lain-lain lagi. Ayat-ayat ini mengandungi maksud supaya umat Islam menggunakan akal untuk memerhati dan mempelajari alam sekeliling. Di samping itu, terdapat juga mekanisma lain yang kewujudannya merupakan manifestasi kepada sumber-sumber ini seperti pembentukan pentadbiran yang berkesan selari dengan ajaran Islam, monumen-monumen indah yang melambangkan keagongan Islam dan ketinggian ilmu-ilmu Islam sehingga menjadi rujukan kepada pembinaan tamadun lain. Tidak dinafikan juga keindahan seni Islam seperti seni kaligrafi, seni bunyi, seni tampak dan sebagainya turut menarik perhatian dan minat masyarakat dunia.



* Tamadun lain
Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun dan tidak menolak segala kebaikan yang dihasilkan oleh tamadun-tamadun lain. Elemen ini membolehkan Tamadun Islam berkembang tanpa sempadan masa dan geografi serta bertoleransi terhadap agama dan budaya lain. Tamadun Islam telah berkembang ke luar dari Semananjung Tanah Arab sampai ke Eropah, Alam Melayu dan Tanah Besar Cina. Ketamadunan yang telah dicapai oleh bangsa-bangsa di luar Semenanjung Tanah Arab ini tetap dipelihara oleh Tamadun Islam, bahkan diperkembangkan lagi melalui aktiviti penterjemahan, penyelidikan dan penambahbaikan dengan memasukkan unsur-unsur Islam. Sebagai contohnya, ilmu astronomi, aljebra dan perubatan daripada tamadun Yunani, Cina dan India disesuaikan dengan ajaran Islam dan telah dikembangkan oleh para sarjana muslim.




Ringkasnya, semua bentuk pembangunan atau kemajuan dalam sesebuah masyarakat yang berteras Tamadun Islam hendaklah dibentuk dalam acuan sumber-sumber tersebut.



1.4.5 Ciri-Ciri Khusus Tamadun Islam
Ciri-ciri tamadun yang dikemukakan oleh para sarjana Barat seperti wujudnya penempatan, kemunculan kota atau bandar, peningkatan kualiti hidup, wujudnya organisasi, bahasa dan penggunaan tulisan dan adanya daya reka cipta, turut terkandung dalam masyarakat Islam yang menjadi penunjang Tamadun Islam. Bahkan ciri-ciri Tamadun Islam lebih luas daripada yang dinyatakan. Namun ciri-ciri khusus Tamadun Islam tersebut jarang diketengahkan. Ciri-ciri khusus Tamadun Islam yang akan dipaparkan di bawah menggambarkan keistimewaan dan nilai tersendiri dan nilai sebenar Tamadun Islam. Ciri-ciri ini menjadi penentu sebab Tamadun Islam diterima oleh semua bangsa yang ada di dunia, walaupun pada asalnya Tamadun Islam bermula pada bangsa Arab. Tamadun Islam diterima oleh masyarakat India sehingga melahirkan era Kesultanan Delhi di India yang berjaya dimantapkan oleh oleh Dinasti Babur sehingga terbinanya Taj Mahal yang menjadi mercu tanda Islam di India. Tamadun Islam diterima oleh masyarakat Cina pada zaman Dinasti Ming. Tamadun Islam diterima oleh masayrakat Melayu di pelbagai pulau dan daratannya. Tamadun Islam diterima oleh masayrakat Eropah seperti di Sepanyol sahingga terbinanya Istana al-Hamra’ di Granada. Ringkasnya, kebanyakan bangsa di dunia boleh menerima Tamadun Islam kerana ciri-ciri khusus ini. 


Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:



* Rabbani
Ciri rabbani menunjukkan Tamadun Islam di dasari oleh nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Menerusi ciri ini, umat Islam sedar hakikat keberadaannya di dunia ini adalah sebagai khalifah Allah yang diamanahkan untuk membangunkan setiap wilayah yang diduduki. Sumber, matlamat dan tujuan kehidupan manusia berteraskan ketetapan Allah SWT yang terkandung dalam al-Qur’an. Selain itu, ciri ini juga menjadikan umat Islam sedar bahawa tujuan penciptaan manusia adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT. Perhubungan manusia dengan Allah SWT merupakan matlamat tertinggi dalam Tamadun Islam. Sementara perhubungan manusia sesama manusia dan alam lainnya adalah pelengkap hubungan dengan Maha Pencipta. (lihat surah al-Taubah: 24, al-Zukhruf: 59) Ciri ini juga menjadi bukti semua bangsa adalah sama dalam masyarakat Islam. Pembezanya hanyalah iman dan takwa, bukan warna kulit, pangkat, keturunan dan kekayaan. Oleh itu, ciri ini merupakan tunggak utama Tamadun Islam dan asas perbezaan Tamadun Islam dengan tamadun lain.




* Keseimbangan dan kesederhanaan.
Kesimbangan bermaksud seimbang antara dua keadaan yang bertentangan. Konsep keseimbangan dalam Tamadun Islam merangkumi kerohanian (spiritual) dan kebendaan (material), tanggungjawab ibadat kepada Allah dan urusan kehidupan dunia, kepentingan individu dengan masyarakat dan keseimbangan nilai spiritual dengan material.




* Universal
Tamadun Islam tidak terikat kepada bangsa tertentu, tempat dan tempoh tertentu, bahkan Tamadun Islam milik seluruh manusia yang berpegang kepada Din al-Islam. Ini bermakna Tamadun Islam sesuai dengan segala bangsa dan situasi. Ia juga menepati keperluan dan peredaran zaman. Tamadun Islam berpegang kepada konsep ummah dan tidak disandarkan kepada sesuatu bangsa atau kawasan tertentu. Dengan ciri ini terbukalah ruang kepada semua bangsa di dunia untuk membentuk masyarakat Islam dan membina tamadun sejagat.




* Ideal dan realistik
Islam sentiasa meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan yang paling tinggi dan dapat dicapai dengan memberi landasan kukuh kepada seluruh kegiatan agar tidak bercanggah dengan ajaran Allah SWT. Ciri realistik mengambil kira kehidupan manusia di alam sejagat dengan kepercayaan bahawa alam sejagat merupakan suatu hakikat yang berlaku di dunia nyata. Dunia nyata adalah antara bukti kewujudan Allah SWT yang Maha Pencipta.




* Tetap dan anjal
Tamadun Islam mempunyai prinsip yang tetap dan tidak berubah pada sasaran dan matlamat pembinaan tamadun, tetapi anjal dari sudut cara dan teknik pelaksanaanya. Islam memberi kebebasan dari sudut merealisasikan tamadun pada setiap bangsa yang berbeza dengan mengambil kira matlamat yang harus di capai, bukan kemajuan dari sudut kebendaan semata-mata.




* Menyeluruh
Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk aspek akidah, syariat (undang-undang) dan akhlak. Demikian juga hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Ia juga merupakan satu seruan keadilan untuk semua manusia, sama ada Islam atau bukan Islam, musuh atau lawan dan mempunyai hubungan keluarga ataupun tidak. Dari aspek kehakiman, Tamadun Islam telah terbukti dapat mengembalikan hak kepada yang empunya, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah Islam. Tamadun Islam juga menyentuh aspek kenegaraan yang meliputi hubungan dalam negara mahupun antarabangsa.




Matlamat Tamadun Islam



Para sarjana Tamadun Islam telah merumuskan matlamat Tamadun Islam seperti berikut :



* Menjaga hubungan baik antara makhluk dengan Khaliq
Penjagaan hubungan baik dalam Tamadun Islam terbentuk melalui keimanan yang mantap, akidah yang lurus dan pengabdian kepada Allah SWT semata-mata seperti yang terkandung dalam konsep tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Hubungan dengan Allah merupakan hubungan ubudiyyah dan sama sekali tidak menyamai dengan sebarang hubungan lain.
Menjaga hubungan dengan Allah merupakan matlamat terakhir dan kemuncak hubungan-hubungan yang lain. Pada hakikatnya, hubungan dengan manusia dan alam lainnya akan kembali kepada perhubungan yang kudus dengan Pencipta Alam, iaitu Allah SWT seperti yang dapat difaham pada surah at-Taubah:24. (Amir A.Rahman,1991:4).




* Menjaga hubungan baik sesama manusia.
Manusia tidak dapat hidup bersendirian, lebih-lebih lagi dalam membina tamadun dan kemajuan. Justeru itu Islam menggariskan peraturan dalam membina hubungan tersebut dengan menghayati segala sifat terpuji dan menjauhi sifat tercela. .Sifat yang dituntut oleh Islam antaranya saling membantu pada perkara takwa dan kebaikan dan tidak membantu pada perkara dosa dan keburukan seperti yang terakam pada surah al-Maidah: 2. Selain itu, Tamadun Islam menjaga kesejahteraan sesama manusia dengan mengharamkan tuduh menuduh, mengumpat, mengeji, mencuri dan lain-lain. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang universal. Ia terbuka kepada seluruh umat manusia. Sifat universal ini memerlukan wujudnya masyarakat yang saling berkomunikasi dengan baik dan berdisiplin seperti pada surah surah al-Hujurat:13.




* Menjaga hubungan antara makhluk dan alam
Dalam membina tamadun, Islam membentuk manusia supaya menjaga hubungan yang baik dengan makhluk lain. Sebagai contohnya, Islam mengharamkan pembunuhan binatang tanpa sebab yang diharuskan atau membunuh haiwan dengan cara yang zalim dan kejam. Antara penentuan garisan yang telah ditentukan oleh al-Qur’an sebagai sumber utama Tamadun Islam dalam menjalin hubungan harmoni antara makhluk dengan alam dapat dilihat pada firman Allah seperti berikut:
a) Hubungan dengan binatang, surah Yasin:72,
b) Hubungan dengan tumbuh-tumbuhan, surah an-Nahl:10 -11.
c) Hubungan dengan laut, surah an-Nahl:14.
d) Hubungan dengan cakerawala, surah Ibrahim: 32 - 33.
Terdapat hampir 500 ayat al-Qur’an yang menyentuh persoalan alam sekitar dan tanggungjawab mengurusnya. Demikian juga Sunnah Rasulullah SAW banyak memberi petunjuk yang menekankan kepentingan memulihara alam sekitar (Mohd Zuhdi, 2002:127) .




* Menjaga kewarasan akal
Akal merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia. Keistimewaan manusia berbanding makhluk lain terletak pada akal yang sempurna dan waras. Dalam membina kemajuan dan peradaban, akal yang waras mestilah dijaga dan diarahkan untuk tujuan yang murni dan baik, bukan untuk membawa kemusnahan kepada diri sendiri dan manusia lain. Justeru itu, Islam mengharamkan segala perbuatan merosakkan akal seperti mengambil minuman yang memabukkan, penagihan dadah dan seumpamanya seperti yang terakam dalam surah al-Maidah: 32.




* Menjaga diri dan nyawa
Nyawa merupakan kurnia Allah SWT untuk memberi peluang dan bekalan kepada manusia mengabdikan diri kepada-Nya. Lantaran itu, dalam membina tamadun dan kemajuan, ajaran Islam menekankan penjagaan nyawa manusia. Justeru jiwa dan nyawa manusia milik mutlak Allah SWT, sedangkan manusia adalah pemilik secara nisbi sahaja, maka mereka mestilah memelihara nyawa sendiri dan orang lain. Penekanan ini menyebabkan Islam mengharam membunuh diri dan melakukan pembunuhan kepada orang lain seperti dalam surah an-Nisa’:29. Sehubungan itu, dalam membina kemajuan dan peradaban, Islam juga mengharamkan tujuan kemajuan adalah untuk kemusnahan seperti pembinaan senjata nuklear dan kimia untuk membunuh orang lain atau membawa kehancuran.




* Menjaga zuriat dan keturunan
Islam mengambil berat aspek penerusan zuriat dan keturunan dengan menekankan perkembangan keturunan yang baik selaras dengan kemajuan. Keturunan yang baik mestilah melalui perkahwinan. Sehubungan itu, Islam mengharamkan segala bentuk pergaulan bebas dan perbuatan zina. Islam juga mensyariatkan undang-undang yang tegas bagi kesalahan zina. Syariat ini bertujuan untuk memastikan zuriat dan keturunan manusia terpelihara sesuai dengan kemuliaan manusia sebagai khalifah Allah seperti yang dapat difaham pada surah al-Isra’:31 dan surah an-Nur:2.




* Menjaga keselamatan harta
Islam tidak menegah pengumpulan harta dan usaha untuk mencari kekayaan. Namun Islam menekankan matlamat dan usaha tersebut mestilah selari dengan kehendak Islam, seperti mencari hasil yang halal dan membelanjakan harta untuk tujuan yang baik dan diharuskan oleh syarak. Dalam membina tamadun, Islam menekankan keselamatan harta. Justeru itu, Islam tidak membenarkan sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan terhadap harta orang lain seperti mencuri, merompak atau urus niaga yang berasaskan riba seperti yang dapat dilihat pada surah al-Qashash:77 dan surah al-Maidah:38.




Oleh itu, selain bermatlamat menjaga hubungan manusia dengan Pencipta, sesama manusia dan alam sekitar, Tamadun Islam juga bermatlamat menjamin keselamatan nyawa, akal, tubuh badan, harta dan keturunan. Semua objektif ini hanyalah untuk memperoleh keredaan Allah SWT dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa konsep tamadun menurut perspektif Islam ialah paduan antara pembangunan material dan spiritual atau antara kebendaan dan kerohanian dan antara memenuhi tuntutan fitrah manusia yang bersifat jasad dan roh. Inilah yang melayakkan Tamadun Islam menjadi tamadun yang universal. Selain itu, kita akan dapat melihat perbezaan yang ketara antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain seperti Tamadun Barat. Tamadun Barat lebih menonjolkan aspek pencapaian kebendaan atau material sebagai ukuran bagi menentukan sesebuah masyarakat itu bertamadun atau sebaliknya, manakala Tamadun Islam mengimbangi antara pembangunan material dan spiritual. 



Kesyumulan Tamadun Islam diinspirasikan dari sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bukanlah kebaikan kepada kamu orang-orang yang meninggalkan kepentingan duniawi untuk akhirat. Dan tidak ada kebaikan bagi kamu orang-orang yang meninggalkan kepentingan akhirat untuk dunia, akan tetapi paling baik bagi kamu yang mengambil dari ini dan ini” (kedua-duanya secara sepadu).
(Riwayat Bukhari)
Kesepaduan dalam Tamadun Islam berlaku tanpa pengabaian mana-mana aspek, jika berlaku pengabaian akan membawa kepada kepincangan dan kecacatan. Malah pada pandangan Islam ia tidak memenuhi maksud Tamadun Islam yang sebenarnya.

Soalan Eksplorasi Tamadun Islam

SOALAN OBJEKTIF

1. Manakah antara kronologi berikut menepati perkembangan sejarah Tamadun Islam?
    (B) Era Rasulullah S.A.W, Khulafa Ar-Rasyidin, Umaiyah, Abbasiyah, Uthmaniyah

2. Pilih padanan yang benar antara tokoh dan sumbangannya kepada Tamadun Islam 
    (A) Al-Zahrawi merupakan pakar bedah dan menulis kitab al-Tasrif

3. Kelahiran Tamadun Islam di sebuah padang pasir tidak menjadi faktor penghalang kepada umat           Islam zaman tersebut untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.Manakah antara berikut           merupakan zaman kemuncak kegemilangan Tamadun Islam?
    (C) Zaman Kerajaan Abbasiyah

4. 'Tamadun Islam turut memberi sumbangan kepada perkembangan Tamadun China'
    Berdasarkan pernyataan di atas, pilih bidang keilmuan yang telah disumbangkan oleh Tamadun           Islam
     (B) i- astronomi
          ii- matematik
          iv- perubatan

5. Kegiatan intelektual dalam Tamadun Islam telah mencapai kemuncak kegemilangan pada zaman         Abbasiyah.Apakah sumbangan besar kerajaaan ini dalam bidang intelektual?
     (B) Menubuhkan Baitul Hikmah sebagai pusat kegiatan keilmuan

SOALAN SUBJEKTIF

1.Apakah pembaharuan - pembaharuan yang dibawa oleh Umar bin al-Khattab dalam bidang pentadbiran yang merupakan sumbangan beliau yang sangat penting? (Siti Haziqah)

a) Pembentukan Majlis Syura

    Majlis ini merupakan majlis perunding yang tertinggi. Majlis ini terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am. Majlis ini terdiri daripada Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Zain bin Abi Tsabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas, Muaz bin Jabal. Segala masalah yang berkaitan politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan di Majlis Syura ini. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar. Khalifah Umar juga membuka seluas-luasnya peluang dan kebebasan kepada semua orang untuk memberikan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam sehinggakan beliau berpendapat orang yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah. Antara prinsip syura yang diutamakan oleh Khalifah Umar:
  • syura adalah hak pemerintah dan rakyat. Hak ini adalah sama, tiada yang berlebihan.
  • kewajiban pemerintah bermesyuarah dengan rakyat dan rakyat wajib memberi kerjasama yang diperlukan. 
  • syura ini bersendikan keikhlasan semata-mata demi menegakkan kebenaran dan keadilan Islam
  • syura ini bukanlah kebulatan suara. keputusan adalah pendapat rakyat terbanyak setelah bertukar-tukar fikiran secara ikhlas
  • semua orang wajib melaksanakan atau mentaati keputusan yang telah dibuat termasuklah golongan yang dikalahkan suaranya.
b) Menbahagikan wilayah-wilayah Islam

     Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam kepada beberapa wilayah untuk menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Beliau juga meletakkan beberapa orang pegawai di setiap wilayah-wilayah tersebut. Pegawai-pegawai yang dilantik hendaklah datang ke Mekah setiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan. Antara pegawai-pegawai yang dilantik adalah Muawiyah bin Abu Suffian, Amru bin al-Ash, Mughirah bin Syu'bah dan juga Zaid bin Sumyah. Sebelum pegawai-pegawai ini dilantik sebagai gabenor, mereka dikehandaki mengisytiharkan segala harta yang mereka miliki bagi mengelakkan sebarang rasuah. Hal ini bertujuan menjaga keadilan dan kesucian Islam.

c) Mempebaharui undang-undang dan pentadbiran tanah

    Segala tanah-tanah awam akan menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil buminya itu akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam mengikut wilayah masing-masing. Khalifah Umar telah menetapkan bahawa tanah penduduk tidak akan dirampas tetapi akan dikenakan cukai. Tentera dan umat Islam tidak boleh mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui proses pembelian. Ini membezakaan sistem pemerintahan Khalifah Umar dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah jajahan akan dibahagikan kepada tentera-tentera yang menyertai peperangan tersebut.
2. Analisis usaha-usaha penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad SAW dari Mekah hingga ke Madinah.

Pengenalan :

Latar belakang Nabi Muhammad s.a.w

  •  Nabi Muhammad s.a.w berketurunan Bani Hashim, lahir pada 12 Rabbiulawal, tahun gajah.      Setelah menerima wahyu , baginda berusaha membina masyarakat Islam di Mekah                    melalui aktiviti dakwah, tetapi mendapat tentangan daripada kaum Quraish.
  •  Penentangan ini telah membawa kepada penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda ke Madinah.
  • Baginda meneruskan usaha dakwahnya di Madinah dan dipilih sebagai pemimpin di Negara Kota tersebut.
Latar belakang masyarakat Mekah dan Madinah

  • Nama asal Makkah ialah Makoraba. Kemudian nama kota itu diubah kepada nama Bakkah dan Makkah. Dalam Al Quran Makkah disebut sebagai Bakkah yang telah didiami manusia sejak 2400 tahun dahulu.
  • Kota   Madinah   dikenali   sebagai   Yathrib, bermakna kota yang bercahaya.Kedudukannya  sangat   strategik, iaitu   terletak  ditengah-tengah perjalanan di antara Syam di Selatan dan Mekah di bahagian utara.Madinah terletak berhampiran lembah yang subur, pertanian dapat dijalankan sepanjang tahun. Kesuburan tanahnya menjadi pusat tumpuan ramai.
Pembinaan masyarakat Islam di Mekah :

Dakwah Secara Sulit :

  • Berlangsung selama 3 tahun 
  • Berusaha membina masyarakat Islam melalui aktiviti dakwah 
  • Secara sulit baginda menyampaikan dakwah kepada kaum keluarganya yang terdekat iaitu   bapa saudaranya.Keluarga sepupu dan juga teman-teman yang rapat hanya beberapa orang sahaja yang memeluk Islam antaranya   Siti   Khadijah   iaitu   isteri   baginda   serta sahabatnya Abu Bakar.
  • Baginda menyeru mereka supaya beriman kepada Allah dan rasulnya serta meninggalkan   ibadat   menyembah   berhala.
  • Baginda   juga   mengajak mereka melakukan kebaikan dan kebajikan serta meninggalkan perkara / perbuatan yang mungkar seperti judi,   minum  arak,   menipu,   merompak,  berzina,   membunuh anak dan sebagainya.
  • Dakwah yang disampaikan oleh baginda adalah secara lemah-lembut dan penuh hikmah.
  • Rumah   al-Arqam   dijadikan   markas   pertama dakwah Islamiyah, rumah tersebut terletak di Bukit Safa. Setelah mendapat wahyu daripadaAllah yang memerintah baginda menyampaikan dakwah secara terang-terangan.
Dakwah Secara Terang :


  • Berlangsung selama 10 tahun.
  • Mendapat penentangan daripada kaum Kafir Quraisy dalam bentuk siksaan, cacian, ejekan, penghinaan dan pemulauan.(huraikan).
  • Orang kafir Quraisy juga menggunakan teknik pujukan melalui Abu Talib, bapa saudara Nabi Muhammad yang ketika itu merupakan pembesar Quraisy dan teknik tawaran iaitu menawarkan pangkat dan harta kpd Nabi Muhammad. Kesemua teknik ini tidak berjaya   melemahkan semangat Nabi Muhammad s.aw untuk terus menyebarkan Islam.
Pembentukan masyarakat Islam di Madinah.

Pembinaan Masjid :
  • Pembinaan masjid.- Merupakan usaha pertama Nabi Muhammad s.a.w di Madinah.
  • Fungsi masjid - Tempat perhimpunan umat Islam untuk mengadakan perbincangan, pusatpengajian, pusat ibadat, pusat pentadbiran dan berurusniaga.
  • Masjid terawal dibina ialah masjid Nabawi.
  • Pembinaan masjid telah melipatgandakan usaha-usaha dakwah.
Piagam Madinah :-
  • Diperkenalkan untuk menyatupadukan masyarakat di Madinah.
  • Kandungan piagam ini mencatatkan tanggungjawab pemerintah dengan golongan yang diperintah, hak-hak manusia, persaudaraan, keselamatan, tanggungjawab sosial, ekonomi dan sebaginya.
  • Perundangan Islam bersumberkan Al-Quran, Hadith, Qias, dan Ijmak.
  • Baginda juga telah memperkenalkan konsep persamaan antara manusia.
Pemulihan Ekonomi :
  • Penyatuan masyarakat yang berlaku telah mewujudkan semangat saling membantu sehingga meliputi segenap bidang.
  • Golongan Muhajirin bergiat dalam bidang pertanian.
  • Nabi menggalakkan umat Islam bergiat dalam bidang perniagaan.
Hubungan Sosial :
  • Nabi   Muhammad   s.a.w   telah   menyatukan   orang-orang   Aus   dan   Khazraj   yang   saling bermusuhan sebelum ini.
  • Nabi Muhammad s.a.w telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar.
  • Baginda   berusaha   menghilangkan  rasa   kesepian   orang   Muhajirin   yang  berjauhan  dengan keluarga dan sanggup meninggalkan saudara mara di Mekah.
Kesimpulan :
  • Nabi Muhammad telah berjaya mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang bersatupadu dan kuat .
  • Kepimpinan Nabi Muhammad menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah bukan sahaja seorang Nabi dan Rasul tetapi juga seorang tokoh negarawan yang unggul.
3. Nyatakan 5 sumbangan Tamadun Islam kepada tamadun dunia dalam bidang sains?

                                           Astronomi
·         Al-Battani memperkenalkan ilmu trigonometri.
·         Beliau membuat hitungan 1 tahun bersamaan 365 hari, 5 jam, 42 minit dan 24 saat serta teori bumi mengelilingi matahari 600 tahun lebih awal daripada ahli sains Itali, Galileo.
·         Abu Said al-Sijzi mencipta astrolab dan membuat kenyataan bumi mengelilingi matahari, bukan matahari mengelilingi bumi.
·         Pembinaan balai cerap untuk bantu pengkajian dalam menentukan arah kiblat yang tepat.
b                      Kimia
·         Jabir / Gaber  Ibn Hayyan ( Al-Harani) menulis tetang korpus Jabir.
·         Proses menyediakan pelapisan bahan anti air pada pakaian serta campuran bahan cat dan gris.
·         Teknik peleburan emas.
·         Muhammad Abu Zakariyya al-Razi.
·         Pengkelasan kepada benda-benda logam, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

                         Geografi dan pelayaran
·         Ibn Majid telah belayar melangkaui  Samudra Hindi apabila meningkat dewasa dan menulis catatan-catatan khusus.
·         Berhasil membuat kompas yang mempunyai 32 arah mata angin.
·         Thabit Ibn Qurrah menterjemah karya-karya Ptolemy berhubung beberapa tempat di bumi berdasarkan letaknya latitud dan longitude.

d                         Perubatan
·         Ibnu Sina menulis 246 buku iaitu Kitab al-Shifa’ dan Al-Qanun fit Tibb’ yang merupakan panduan utama bagi bidang sains perubatan di barat dari abad 12 hingga 17.
·         Hospital-hospital dan klinik-klinik ditubuhkan di seluruh dunia Islam.
·         Paling awal dibina pada 707 Masihi di Damsyik pada zaman khalifah Walid Ibn Abd a-Malik.

e                      Matematik

·         Al-Khawarizmi, bapa algebra menghasilkan buku Hisab Al-Jabr Wal Muqabalah (Buku Pengiraan, Perbaikan, pengurangan) Yang merupakan asas kepada algebra moden.


4. Senaraikan sumbangan Tamadun Islam dalam bidang matematik dan pelayaran.
  • Al Khawarizmi merupakan pengasas kepada ilmu algebra sebagai satu cabang ilmu yang terpisah daripada matematik dan geometri. Kepakaran dan kepintaran dalam matematik diperakui oleh masyarakat barat dan timur. Bukunya yang berjudul “Hisab al Jabr Wal Muqabalah” telah diterjermahkan di barat dengan judul “Mathematics of Integration and Equation”. Melalui buku inilah lahirnya istilah algebra yang digunakan sehingga ke hari ini. 
  • Sistem nombor adalah salah satu sumbangan dan telah digunakan pada zaman tamadun Islam. Banyak kaedah yang diperkenalkan dalam setiap karya yang dihasilkan. Antaranya ialah kos, sin dan tan dalam trigonometri penyelesaian persamaan, teorem segitiga sama juga segitiga sama kaki dan mengira luas segitiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri. Masaalah pecahan dan sifat nombor perdana dan teori nombor juga diperkenalkan. Banyak lagi konsep dalam matematik yang telah diperkenalkan al-khawarizmi sendiri.
  • Al-Masudi(895-957M) telah belayar sejauh Mozambique dan membuat banyak penemuan dan perhatian terhadap perubahan monsun dan menyimpan rekod mengenainya. Beliau juga telah membuat penemuan bahawa Lautan Hindi adalah laut terbuka berdasarkan pelayaran dan dan laporan para pelayar. Beliau juga telah menyiapkan bukunya yang bertajuk Muruj-al-Thahab yang menggambarkan pengalamannya di pelbagai negara,penduduk dan perubahan cuaca. Antara karya lain beliau ialah Muruj-al-Zaman dan The Meadow of Gold yang mengandungi pandangan beliau terhadap bumi dan laut. Bukunya digunakan secara meluas di institusi-institusi pendidikan Islam. 

5.Rumuskan sumbangan Kerajaan Umaiyyah terhadap perkembangan Tamadaun Islam.